Kenyataan Media: Perlindungan Polis penting dalam menangani keganasan terhadap individu trans dan pelbagai gender
Kenyataan Media: Perlindungan Polis penting dalam menangani keganasan terhadap individu trans dan pelbagai gender
{pods_resources_highlights}
Resources
/Statements/
Kenyataan Media: Perlindungan Polis penting dalam menangani keganasan terhadap individu trans dan pelbagai gender
Discrimination and Violence
November 20, 2023
Pada setiap 20 November, bersempena dengan Hari Peringatan Transgender atau Transgender Day of Remembrance (TDOR), kami memberi penghormatan kepada individu transgender dan pelbagai gender yang telah kehilangan nyawa disebabkan oleh keganasan berasaskan gender.
Individu pelbagai gender tidak semestinya merupakan transgender, namun dilihat sebagai transgender atau sebahagian daripada komuniti LGBT berdasarkan kepada cara mereka mengekspresikan diri dan gender mereka.
Kepentingan TDOR kini menjadi lebih besar dan mendesak daripada sebelum ini. Di peringkat global, antara 1 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023, sejumlah 320 individu trans dan pelbagai gender telah dilaporkan meninggal dunia kerana dibunuh, menurut Trans Murder Monitoring Update 2023.
Di Malaysia, sekurang-kurangnya empat kes telah didokumentasikan bermula pada Januari dan November 2023 menerusi pengawasan media dan pelaporan komuniti, dua kali ganda daripada angka pada tahun sebelumnya.
- 26 Januari 2023 – seorang transwanita di Kuala Lumpur ditemui/mati di rumahnya setelah hilang selama tiga hari. Pihak polis mengesyaki terdapat unsur jenayah kerana terdapat bungkusan makanan di atas meja dan pintu rumahnya tidak dikunci.
- 8 Jun 2023 – seorang transwanita ditemui mati di rumahnya sendiri di Selangor. Walaupun si mati tampak seperti telah membunuh diri, lebam telah ditemui pada badan, muka, dan lengannya. Polis telah menahan seorang suspek, namun kesudahan kes tersebut masih tidak diketahui. Ahli keluarga si mati telah bersuara di ruang awam untuk menuntut keadilan bagi kematian anak mereka. Kes tersebut telah dilaporkan di media berbahasa Tamil.
- 4 Julai 2023 – seorang transwanita di Kuala Lumpur telah ditemui mati di rumahnya, berpakaian lengkap beserta dengan solekan.
- 10 Oktober 2023 – seorang transwanita telah ditemui mati di lorong pejalan kaki di Johor. Polis melaporkan terdapat kesan trauma akibat serangan senjata tumpul di kepala dan dadanya. Pihak polis tidak mengesyaki terdapat sebarang unsur jenayah bagi kes itu.
Kes-kes tersebut, serta kes sebelumnya jelas menunjukkan kerentanan transanita terhadap keganasan berasaskan gender. Pekerja seks transwanita terutamanya paling mudah terdedah kepada keganasan oleh klien mereka. Penjenayahan identiti gender transwanita serta kerja seks menyebabkan mereka menjadi lebih rentan dan terdedah kepada keganasan di samping menyukarkan akses mereka kepada sistem pengadilan. Di dalam dua kes, pihak polis, keluarga serta kawan mengesyaki pasangan kekasih sebagai pelaku jenayah.
Walaupun pihak polis melaksanakan penyiasatan bagi kes-kes tersebut, terdapat jurang dalam cara kes tersebut dikendalikan yang menjurus kepada ketidakadilan bagi pihak keluarga.
Jurang tersebut terlihat dalam:
- Penafian elemen “jenayah berdasarkan kebencian” (hate crime) Pembunuhan seorang transwanita baru-baru ini di Johor merupakan satu contoh keputusan pramatang yang menafikan kemungkinan jenayah berdasarkan kebencian.
- Kapasiti dalam menganalisa dan menyiasat jenayah berdasarkan kebencian serta kes-kes keganasan berasaskan gender yang teruk terhadap individu trans dan pelbagai gender. Pada Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Penang membebaskan lima lelaki yang terlibat dalam kes pembunuhan T. Nhaveen berdasarkan alasan pembuktian yang tidak konsisten. Hakim telah berkata di media “Pihak polis gagal melakukan penyiasatan secara adil bagi kes ini.” Perbicaraan tersebut juga telah dilaporkan tertangguh berikutan isu kertas kerja dan hanya bermula pada Mei 2021.
Pada tahun 2017, Nhaveen meninggal dunia beberapa hari setelah diserang dengan kejam. Dia diserang kerana ekspresi gendernya tidak mengikut norma maskuliniti masyarakat. Penyerang-penyerang di dalam kes tersebut, sebahagiannya merupakan bekas rakan sekelas Nhaveen, mempunyai sejarah melakukan buli dan keganasan – termasuk keganasan seksual – terhadap Nhaveen berdasarkan ekspresi gendernya. Walaupun Jabatan Peguam Negara Malaysia akan membuat rayuan untuk keputusan tersebut, keluarga Nhaveen terus dilanda kesengsaraan berikutan ketidakadilan tersebut. - Penggunaan bahasa yang mesra trans dan gender. Di dalam kes jenayah berdasarkan kebencian, pihak polis merupakan sumber utama maklumat, dan cara mereka menghuraikan individu trans mempunyai kesan kepada cara media melaporkan kes tersebut. Ini dijejaskan lagi oleh taraf yang rendah bagi pelaporan berita yang berkaitan dengan komuniti trans. Media telah berulang kali menggunakan bahasa yang tidak manusiawi apabila merujuk kepada individu trans, seperti pondan, dan dengan sengaja menggunakan gender yang salah, menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi individu trans tidak bernilai seperti individu lain. Amplifikasi ini mempunyai kesan yang mendalam dalam meningkatkan diskriminasi terhadap individu trans serta penyebaran budaya keganasan terhadap trans tanpa batas disebabkan oleh penyisihan, penjenayahan, dan ketiadaan perlindungan.
TDOR merupakan kesempatan bagi kita semua untuk merefleksi cara untuk mengubah keadaan dan memperjuangkan undang-undang yang melindungi individu trans dan pelbagai gender daripada diskriminasi. Kami mengesyorkan pihak PDRM untuk membabitkan diri serta belajar daripada negara ASEAN lain dalam usaha mereka untuk menangani keganasan berasaskan gender terhadap individu trans, LGBTIQ, dan pelbagai gender. Pada tahun 2018, Polis Nasional Filipina (PNP) telah melancarkan LGBT Help and Protection Desks di seluruh balai polis negara tersebut.