Pihak polis mesti membetulkan maklumat salah berkaitan dakwaan “pesta gay”
Pihak polis mesti membetulkan maklumat salah berkaitan dakwaan “pesta gay”
{pods_resources_highlights}
Discrimination and Violence
Criminalisation
July 20, 2025
Kami, yang bertandatangan di bawah, menyeru pihak Polis Kelantan untuk memeriksa ketepatan dan kebenaran fakta-fakta yang dikongsi bersama dengan pihak media berkenaan dakwaan sebuah pesta gay yang telah diserbu oleh pihak polis pada bulan Jun 2025 lalu. Kes tersebut telah mendapat liputan media yang luas dan membawa kepada penyataan berunsur diskriminasi terhadap golongan LGBTQ dari pihak kerajaan dan bukan kerajaan, menimbulkan ketakutan terhadap diskriminasi, keganasan dan peminggiran di kalangan golongan LGBTIQ
Dokumentasi Justice for Sisters berkenaan acara tersebut adalah berbeza sepenuhnya berbanding kenyataan pihak polis. Justice for Sisters dengan yakinnya mengesahkan bahawa:
- Bertentangan dengan dakwaan bahawa acara tersebut adalah “pesta seks gay”, acara tersebut sebenarnya merupakan sebuah acara berkaitan kesihatan. Selaras dengan matlamatnya, acara tersebut memberikan maklumat tentang kesihatan seksual dan HIV, kondom, serta ujian pemeriksaan secara sukarela untuk mempromosikan amalan kesihatan seksual yang lebih selamat.
- Acara yang bermula jam 8 malam tersebut meliputi program ceramah kesihatan bersama penyedia penjagaan kesihatan, termasuk doktor. Acara tersebut sudah hampir tamat pada tengah malam, namun masih terdapat kira-kira 20 orang peserta yang berada di acara tersebut untuk menunggu keputusan ujian pemeriksaan.
- Tiada seorang pun daripada mereka yang menyediakan khidmat seks di acara tersebut atau berada di sana untuk menyediakan khidmat seksual. Para peserta berada di acara tersebut untuk mendapatkan maklumat dan ujian pemeriksaan kesihatan seksual.
- Pihak polis mendakwa bahawa para peserta dikenakan bayaran untuk menghadiri acara tersebut. Ini tidak tepat. Tiada bayaran diperlukan dari peserta untuk mengambil bahagian dalam acara tersebut. Acara tersebut merupakan sebuah acara kesihatan percuma yang bertujuan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kalangan populasi terpinggir.
- Pihak polis mendakwa bahawa acara tersebut dipromosikan di media sosial. Ini juga tidak tepat.
- Polis yang terlibat dalam operasi, didakwa dari unit narkotik, melakukan serbuan ke atas acara tersebut selepas tengah malam. Para peserta menyatakan pihak polis menyerbu acara tersebut kerana mengesyaki terdapat sebuah “pesta gay” yang sedang berlangsung. Walau bagaimanapun, pihak polis mendapati bahawa maklumat yang diterima adalah salah. Namun, pihak polis tetap meneruskan operasi dengan menjalankan ujian air kencing terhadap peserta yang masih ada di lokasi acara. Keputusan ujian mendapati bahawa semua peserta adalah negatif dadah. Pihak polis kemudian memeriksa telefon bimbit peserta untuk mendapatkan maklumat berkenaan pesta gay yang dikatakan sedang berlangsung dan tidak menemui sebarang malumat. Bagaimanapun, tiga orang telah ditahan kerana memiliki kandungan intim, yang kebanyakannya adalah kandungan peribadi. Kami mengekalkan pendirian bahawa ini adalah tuduhan palsu yang sengaja diwujudkan.
- Acara tersebut menyasarkan populasi tersembunyi, termasuk golongan gay, biseksual, queer (GBQ) serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM). Menurut Kementerian Kesihatan, akses kepada perkhidmatan pencegahan HIV untuk GBQ dan MSM lain adalah “… semakin lemah, mungkin kerana mereka adalah yang paling sukar untuk disantuni dan sukar untuk dikenal pasti disebabkan oleh stigma dan diskriminasi.” Penting untuk diberi perhatian bahawa usaha untuk mengakhiri wabak AIDS menjelang tahun 2030 memerlukan pendekatan dari seluruh jabatan kerajaan dan merentasi berbilang sektor. Pihak polis adalah sangat penting dalam melaksanakan usaha pengurangan kemudaratan dan mengakhiri AIDS, kerana ancaman terhadap pusat dan perkhidmatan kesihatan mempengaruhi tingkah laku individu dalam mencari akses kepada penjagaan kesihatan.
Berikutan kejadian tersebut, kami telah mendapati bahawa ramai individu LGBTQ berasa takut untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau menghadiri acara sedemikian pada masa akan datang.
Penting untuk diberi perhatian bahawa sejak kebelakangan ini, pihak polis telah mengubah strategi dari menyerbu acara dan pusat kesihatan yang menyasarkan golongan terpinggir, kerana tidak selari dengan matlamat dan pendekatan kesihatan awam. Serbuan dan ancaman terhadap pusat kesihatan mempunyai kesan yang menghalang tingkah laku dalam mencari dan mendapatkan akses kesihatan di kalangan populasi terpinggir. Kami berasa bimbang atas kemunculan semula trend yang memudaratkan ini. Kami sangat menggesa Kementerian Kesihatan untuk menyiasat perkara ini.
Pihak polis mesti mengekalkan tahap profesionalisme, integriti dan ketepatan tertinggi ketika melaporkan fakta kes ke media. Banyak kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis mempunyai unsur-unsur yang bersifatkan stigma, yang kemudiannya akan disensasikan oleh pihak media. Ini termasuklah
- Kenyataan bahawa beberapa orang peserta adalah positif HIV dan menyediakan khidmat seks. Maklumat ini tidak perlu didedahkan. Kenyataan tersebut akan memperkukuh lagi hiperseksualisasi terhadap golongan LGBT dan stigma yang berkaitan dengan HIV dan golongan LGBT. Kenyataan sedemikian juga memperkuat lagi ketakutan terhadap pendedahan status HIV, orientasi seksual serta maklumat peribadi lain tanpa izin, meningkatkan lagi kesangsian terhadap institusi-insititusi awam.
- Penyampaian idea bahawa ubat-ubatan HIV adalah item persediaan untuk melakukan seks adalah satu perkara yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab, kerana terdapat halangan sedia ada dalam mengakses PrEP dan perkhidmatan kesihatan lain secara umum, seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan dan kajian-kajian lain. Perkara ini dapat menurunkan lagi tingkah laku mencari akses kesihatan yang memang sedia ada rendah di kalangan golongan LGBTQ.
- Kenyataan bahawa para peserta berpenampilan ‘lelaki’ dan berpakaian sepenuhnya pada masa serbuan. Keterangan berkenaan ekspresi dan identiti gender peserta juga menimbulkan stigma. Para peserta berpakaian sepenuhnya pada acara tersebut kerana ia adalah sebuah acara kesihatan, dan bukannya pesta seks seperti yang didakwa oleh pihak polis.
Justice for Sisters telah mendokumentasikan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak polis semasa serbuan dilakukan, termasuk pelanggaran ke atas privasi serta layanan yang menjatuhkan maruah dan mengaibkan terhadap para peserta. Kami juga sangat bimbang dengan kekurangan keupayaan penganjur acara dan tahanan untuk bersuara dan mendapatkan tebus rugi kerana kebimbangan terhadap tindak balas oleh pihak polis dan kerajaan negeri. Kami ingin mengingatkan semula tentang kod etika PDRM – prihatin, responsif, integriti, dan profesional.
Pihak PDRM mesti mengekalkan pendekatan yang penuh dengan belas kasihan dan responsif terhadap diskriminasi yang dihadapi oleh golongan terpinggir, dan bertindak dengan tahap profesionalisme dan integriti tertinggi untuk memastikan hak-hak kumpulan terpinggir sentiasa dilindungi.
Kami menyeru pihak polis untuk membetulkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat ini dengan kadar yang segera.
Disokong oleh
- Justice for Sisters
- SEED Malaysia
- Centre for Independent Journalism
- Sisters United
- Amnesty International Malaysia (AIM)
- Women’s Aid Organisation (WAO)
- JEJAKA
- KL queer space
- Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
- HUSH Collective
- All Women’s Action Society (AWAM)
- Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
- Freedom Film Network
- Kelab Ikatan Persaudaraan Lelaki Bukit Tinggi, Klang.
- Life Under Umbrella (LUU)
- Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- PLUHO, People Like Us Hang Out!
- PT Foundation
- Association of Women Lawyers (AWL)
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- Pride In Research
- Dr. Nadirah Babji
- Wong Keen Ji, Licensed and Registered Counsellor
- Dr Fiera Adam
- Dr Johan Ariff Juhari, Chengal Specialist Clinic
- Shaleen Chrisanne, Clinical Psychologist
- Dr Subatra Jayaraj
- Dr. Alvin Santhosh Francis, GP
- Dr. Nasyrah Iskandar, GP
- Dr Muhammad Ezrin, GP
