Pengenalan

Ketahui maksud amalan pengubahan, jenis-jenis amalan pengubahan, dan kesannya terhadap mereka yang telah melalui amalan pengubahan.

Apa Maksud ‘Amalan Pengubahan’?

‘Amalan Pengubahan’ atau ‘Terapi Pengubahan’ ialah istilah umum yang menjelaskan pelbagai jenis rawatan, amalan, serta usaha berterusan yang bertujuan untuk mengubah, memendam atau menghapuskan orientasi seksual, identiti gender, atau ekspresi gender seseorang. Tujuan utama amalan-amalan ini adalah untuk mengubah diri mereka dari seorang gay, lesbian, atau biseksual kepada heteroseksual, serta dari seorang trans atau gender pelbagai kepada cisgender.

Kumpulan hak asasi manusia serta persatuan perubatan dan kesihatan mental mengecam penggunaan frasa ‘terapi pengubahan’, yang telah diisytiharkan sebagai berbahaya oleh sebab kesan jangka panjangnya yang mendalam.

Oleh itu, penggunaan perkataan ‘terapi’ adalah tidak tepat dan menyimpang. Hal ini kerana ianya mencadangkan bahawa golongan LGBTQ adalah sakit dan perlu dirawat, walaupun tanpa bukti yang mencukupi untuk menyokong amalan tersebut. Hal ini bertentangan dengan matlamat terapi untuk memberi kesahan, menyokong, dan menyediakan terapi kesihatan serta kaunseling kepada individu-individu yang ingin mencari peluang untuk meneroka orientasi seksual atau identiti gender mereka, tidak mengira apa jua hasil yang mungkin terjadi. Oleh itu, ‘amalan pengubahan’ atau ‘usaha mengubah orentasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender’ (SOGIECE) adalah lebih sesuai.

Asas Yang Lemah Untuk Amalan Pengubahan

Amalan pengubahan amat bergantung kepada patologi orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender (SOGIE). Hal ini bermaksud mengelaskan SOGIE bagi golongan LGBTQ, sebagai sebuah penyakit mental dalam manual kebangsaan dan antarabangsa yang digunakan oleh pakar penjagaan kesihatan untuk mengenal pasti gangguan mental.

Orientasi seksual dan identiti gender tidak lagi dikelaskan sebagai penyakit mental dalam Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental (DSM) dan Pengelasan Penyakit Antarabangsa (ICD).

Edisi pertama Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental pada tahun 1952 mengelaskan homoseksualiti sebagai penyakit mental. Pada tahun 1973, homoseksualiti telah dikeluarkan dari DSM setelah kajian mendapati tiada hubung kait yang wujud antara sebarang orientasi seksual ini dengan psikopatologi serta tingkah laku heteroseksual dan tingkah laku homoseksual adalah aspek normal seksualiti manusia. Banyak persatuan perubatan telah mengisytiharkan bahawa orientasi seksual dan tarikan sesama jantina tidak menandakan sebarang kecelaan dan tidak perlu diubah.

Pengelasan identiti gender dalam ICD-11 berkait dengan kesihatan seksual memastikan akses kepada penjagaan kesihatan serta jaminan perlindungan untuk golongan trans dan gender pelbagai. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ‘walaupun bukti terkini jelas menyatakan bahawa ia bukan satu bentuk gangguan mental, dan sememangnya pengelasan ini boleh menyebabkan stigma yang besar untuk golongan transgender, masih terdapat keperluan penjagaan kesihatan penting yang perlu dipenuhi jika keadaan tersebut dikodkan di bawah ICD.’ 

Jenis-jenis Amalan Pengubahan

Amalan pengubahan adalah meluas dan berbeza-beza; dari psikoterapi kepada kaedah perubatan serta rawatan berasaskan kerohanian, yang berfokus kepada emosi atau fizikal.

Psikoterapi

Psikoterapi adalah berdasarkan idea bahawa orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender (SOGIE) adalah hasil dari penderaan serta trauma dari kecil, atau persekitaran dan asuhan seseorang.

Contoh Kaedah

  • ‘Terapi Aversi’ (atau penghindaran) meletakkan seseorang mengalami sensasi yang menyakitkan atau ransangan perasaan yang tidak menyenangkan seperti kejutan elektrik, dan ubat-ubatan yang menyebabkan rasa loya dan kelumpuhan.

  • Pengukuhan peranan dan stereotaip binari gender melalui aktiviti fizikal (cth. berkhemah, mengembara, mendaki gunung)

  • Hipnosis untuk cuba mengubah bentuk pemikiran terhadap tarikan sesama gender

  • Menggalakkan onani sambil berfantasi membayangkan individu cisgender heteroseksual

Perubatan

Pendekatan perubatan yang berakar dari idea bahawa kepelbagaian orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender (SOGIE) adalah disebabkan oleh disfungsi biologi dalaman yang boleh dirawat melalui penggunaan ubat-ubatan.

Contoh Kaedah

  • Rawatan tradisional (cth. ayurvedik, homeopati, dan perubatan tradisional lain) yang menggunakan ‘penyembuhan ajaib’ seperti mencurahkan minyak ke dalam faraj atau menjalankan hukuman fizikal

  • Penggunaan rawatan hormon untuk menyembuhkan golongan LGBTIQ dan gender pelbagai

  • Patologi SOGIE dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan

Berasaskan Kerohanian

Pendekatan berasaskan kerohanian adalah berdasarkan idea bahawa kepelbagaian orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender (SOGIE) adalah ‘syaitan’ atau ‘makhluk halus’ yang mampu merasuk seseorang. Pendekatan yang lain termasuk merawat SOGIE seseorang itu sebagai ketagihan yang boleh disembuhkan.

Contoh Kaedah

  • Program pemulihan atau kem ibadat oleh kumpulan dan badan agama

  • Kaunseling agama, terapi doa dan sembahyang, terapi psiko-rohaniah

  • Pengusiran makhluk halus (ruqyah) atau kaedah pembujangan secara paksa untuk menghalang aktiviti seksual sama jantina

  • Menganggap orientasi seksual, identiti dan ekspresi gender seseorang sebagai sebuah ketagihan yang boleh dirawat dengan bantuan atau bimbingan penasihat kerohanian atau melalui program 12 langkah

Kesan Amalan Pengubahan

Amalan pengubahan mempunyai pelbagai kesan sampingan yang memudaratkan dan berkait rapat dengan hasil kesihatan mental dan sosial yang negatif.

☢ Mudarat kesan psikologi jangka panjang

Amalan pengubahan boleh memberi kesan buruk yang ketara pada kesihatan emosi dan fizikal seseorang, mengakibatkan kemurungan, keresahan, rasa malu, rasa bersalah, keyakinan diri yang merudum, homofobia terbatin, imaginasi yang mengganggu, kesukaran dalam membentuk hubungan intim, pengasingan sosial, pembentukan idea atau percubaan bunuh diri, kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) dan kesakitan fizikal.

Sebuah tinjauan oleh Justice for Sisters et al tentang amalan pengubahan mendapati 45.5% daripada 123 responden melaporkan peningkatan stres, keresahan, pengasingan, dan kesan buruk yang lain terhadap kesihatan mental hasil dari tekanan untuk mengubah SOGIE. Manakala 32.5% mengalami pembentukan idea dan percubaan bunuh diri.

Tinjauan yang sama mendapati 21 daripada 43 responden LGBTIQ (48.8%) yang dipaksa untuk menjalani amalan pengubahan melaporkan peningkatan stres, keresahan, pengasingan, dan kesan buruk yang lain terhadap kesihatan mental. 14 orang mengalami pembentukan idea dan percubaan bunuh diri.

🚑 Peningkatan halangan untuk mengakses perkhidmatan kesihatan

Golongan LGBTIQ+ yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan melaporkan ditawarkan amalan pengubahan apabila mereka mendedahkan maklumat berkaitan SOGIE.

Tinjauan JFS mendapati 7 dari 156 responden LGBTIQ di Malaysia (4.5%) ditawarkan amalan mengubah SOGIE semasa mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental, manakala 6 orang (3.8%) ditawarkan amalan yang sama semasa mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital. Sekurang-kurangnya 4 responden menyatakan bahawa mereka telah berhenti dari mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kerana rasa tidak percaya. 

Kajian menunjukkan golongan LGBTIQ di Malaysia sudah pun berhadapan dengan masalah akses penjagaan kesihatan yang lemah disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh, sebuah kajian oleh CERiA mendapati kelakuan dan pengetahuan yang rendah untuk mendapatkan penjagaan kesihatan di kalangan responden lelaki queer beragama Islam disebabkan tekanan untuk berkahwin atau mengubah SOGIE mereka, penjenayahan, antara faktor lainnya. Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam laporan Pantauan AIDS Sedunia 2020 mengakui bahawa akses kepada perkhidmatan pencegahan HIV untuk lelaki GBQ dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) ‘adalah lemah atau kurang baik mungkin kerana mereka adalah golongan yang paling sukar dicapai dan sukar untuk dikenal pasti disebabkan oleh stigma dan diskriminasi.’ 

🏫 Kesan terhadap akses kepada pendidikan

Tinjauan JFS mendapati golongan muda sebagai kelompok utama yang terdedah kepada amalan pengubahan. Daripada 123 responden LGBTIQ, sekurang-kurangnya 36.6% berasa tiada motivasi dan hilang minat untuk persekolahan, kerja, aktiviti keluarga, aktiviti sosial dan lain-lain hasil dari tekanan untuk mengubah SOGIE mereka. Manakala 4.9% pula telah berhenti dari sekolah.

⚧ Peningkatan maklumat yang salah atau palsu berkenaan golongan LGBT

Amalan pengubahan diwujudkan atas tanggapan berbahaya bahawa golongan LGBT adalah tidak bermaruah, menyimpang, dan tidak bermoral kerana mereka tidak akur dengan piawaian norma gaya hidup cis dan hetero.

Pelbagai bentuk maklumat yang salah atau palsu dikaitkan dengan amalan pengubahan. Di Malaysia, antara konsep yang salah tentang seseorang ‘menjadi’ LGBT termasuklah, kononnya disebabkan oleh

Akibatnya, golongan LGBTIQ menjadi mangsa penganiayaan, diskriminasi dan percubaan untuk menyembuhkan mereka. Kadangkala, cara ‘penyembuhan’ ini boleh menggunakan kaedah yang memudaratkan, mengaibkan serta ganas, sekaligus berisiko membahayakan nyawa golongan LGBTIQ.

Beberapa mitos ini telah dipaparkan palsu. Baca lebih lanjut di sini.

❌ Memperkukuh ideologi binari gender

Amalan pengubahan mengukuhkan tanggapan bahawa hanya wujud lelaki dan perempuan yang patuh gender, heteroseksual, dan cisgender. Pengukuhan binari gender atau ideologi patriarki cis-hetero tidak hanya memberi kesan kepada golongan LGBTIQ+ dan gender pelbagai, tapi juga golongan cisgender dan heteroseksual kerana setiap individu dipaksa untuk menurut pada kotak binari dan gender, yang menghalang kebebasan kita untuk berekspresi dan hak untuk menentukan nasib sendiri.

💬 Peningkatan sekatan kebebasan untuk berekspresi

Di Malaysia, aktivis yang memperjuangkan hak LGBTIQ+ telah menghadapi sekatan untuk meluahkan kerisauan dan kritikan terhadap amalan pengubahan yang dibiayai kerajaan. Kebimbangan yang dibangkitkan terhadap pematuhan program-program ini seiring dengan piawaian hak asasi manusia telah menerima tindak balas buruk serta kecaman dari pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan, termasuk kumpulan-kumpulan bekas LGBT yang mempunyai hubungan dengan pihak kerajaan. Hal ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan mereka untuk menjalankan kerja advokasi hak asasi manusia, tapi juga mewujudkan sebuah persekitaran atau iklim berkisar penapisan secara menyeluruh.

Adakah Amalan Pengubahan Melanggar Hak Asasi Manusia?

Amalan pengubahan sememangnya melanggar banyak hak asasi manusia.

Buku panduan ‘Born Free and Equal’ oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) menggariskan lima tanggungjawab utama negara berkaitan dengan golongan LGBTIQ. Selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, sebuah negara mempunyai tanggungjawab untuk mencegah penyeksaan terhadap golongan LGBTIQ, termasuk penghapusan amalan pengubahan.

Buku panduan tersebut mencadangkan pihak kerajaan untuk mengambil ‘langkah perundangan, pentadbiran dan langkah-langkah lain yang diperlukan untuk menjamin penghormatan terhadap autonomi dan integriti fizikal serta peribadi golongan LGBT dan melarang amalan “terapi pengubahan” dan sebarang rawatan yang dipaksa-paksa, tanpa rela atau dijalankan secara kasar yang dilakukan ke atas mereka’ dan ‘memastikan pakar kesihatan dan penjawat awam menjalani latihan untuk menghormati hak asasi golongan LGBTI.’

Malaysia hanya telah meratifikasi tiga dari sembilan perjanjian antarabangsa hak asasi manusia oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu – Konvensyen bagi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen bagi Hak Kanak-Kanak (CRC), dan Konvensyen bagi Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).

Apabila sesebuah negara meratifikasi sebuah perjanjian hak asasi manusia, ia diwajibkan untuk menyelaraskan kandungan perjanjian tersebut ke dalam undang-undang, dasar dan amalan domestik. Ia juga bertanggungjawab untuk mengemukakan ulasan berkala tentang kemajuan mereka dalam mencapai piawaian yang telah ditetapkan oleh perjanjian tersebut, di mana ia akan dinilai oleh sebuah jawatankuasa. Jawatankuasa tersebut kemudiannya boleh memberikan cadangan untuk membantu negara berkenaan mencapai piawaian dan matlamat perjanjian tersebut.

Dalam semakan CEDAW Malaysia pada tahun 2018, jawatankuasa CEDAW mencadangkan supaya pihak kerajaan untuk ‘mempercepatkan langkah bagi menamatkan semua dasar dan aktiviti yang bertujuan untuk “membetulkan” atau “memulihkan” wanita lesbian, biseksual dan transgender serta golongan interseks.’

Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan mendapati bahawa pengawalan yang memerlukan golongan LGBTI untuk dilayan sebagai pesakit mental atau psikiatri atau untuk ‘dirawat’ dengan menjalani apa yang dipanggil sebagai ‘rawatan’ adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap hak untuk kesihatan seksual dan reproduktif mereka.

  1. Tanpa diskriminasi, dalam konteks hak untuk kesihatan seksual dan reproduktif, juga merangkumi hak asasi semua orang, termasuk golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks, untuk diberi rasa hormat secara penuh terhadap orientasi seksual, identiti gender dan status interseks mereka. Penjenayahan seks antara orang dewasa yang sama gender atau ekspresi identiti gender seseorang adalah pelanggaran hak asasi manusia secara jelas. Begitu juga, pengawalan yang menghendaki golongan transgender dan interseks lesbian, gay, serta biseksual untuk dilayan sebagai pesakit mental atau psikiatri, atau menghendaki mereka untuk ‘dirawat’ melalui ‘rawatan’, adalah secara terang-terangan sebuah pelanggaran terhadap hak untuk kesihatan seksual dan reproduktif mereka. Pihak kerajaan juga mempunyai kewajipan untuk melawan homofobia dan transfobia, yang akan menyebabkan diskriminasi, termasuk pelanggaran hak untuk kesihatan seksual dan reproduktif.

Walaupun Malaysia bukan sebuah anggota kepada Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Ekonomi, Sosial dan Budaya, piawaian hak asasi manusia tersebut secara umumnya terpakai kepada semua negara dalam melindungi dan mempromosikan hak asasi semua orang, termasuk golongan LGBTIQ dan gender pelbagai. Hal ini adalah antara sebab tambahan untuk menyokong Malaysia untuk meratifikasi perjanjian hak asasi manusia.

Usaha Untuk Melindungi Golongan LGBTQ Daripada Amalan Pengubahan

Memandangkan kemudaratan amalan pengubahan yang nyata, negara-negara dan sektor swasta telah bersama-sama memperkenalkan langkah untuk melindungi kesihatan serta kesejahteraan golongan LGBTIQ dan gender pelbagai. Langkah-langkah perlindungan ini telah diwujudkan dalam pelbagai bentuk:

Pengenalan penggubalan undang-undang untuk melarang amalan pengubahan

Setakat April 2022, 14 negara dan banyak bidang kuasa di bawah negara (bandar, negeri, atau wilayah) telah memperkenalkan beberapa bentuk larangan untuk menghalang amalan terapi pengubahan. Brazil, Ecuador dan Malta telah menggubal undang-undang peringkat kebangsaan yang menghalang atau menjenayahkan sesiapa yang didapati mengamalkan terapi pengubahan.

Penggunaan undang-undang sedia ada untuk melarang amalan pengubahan

Dalam beberapa negara, undang-undang Kanun Keseksaan, anti-diskriminasi, perlindungan kanak-kanak, dan anti penipuan telah digunakan oleh golongan LGBTQ untuk mendapatkan tuntutan keadilan terhadap amalan pengubahan.

Sebagai contoh, pada 2012, Southern Poverty Law Central, sebuah organisasi sokongan perundangan di Amerika Syarikat, membantu tiga lelaki muda dan dua ibu bapa, dalam memfailkan tuntutan mahkamah melawan sebuah organisasi yang mendakwa perkhidmatan kaunseling mereka boleh menyembuhkan golongan gay dengan memetik pelanggaran Akta Penipuan Pengguna New Jersey. Pada Jun 2015, dalam sebuah keputusan bersejarah, barisan juri mendapati perkhidmatan yang disediakan oleh organisasi tersebut adalah palsu dan tidak berhati perut, sekali gus didapati bersalah di bawah penipuan pengguna. Organisasi tersebut diarahkan untuk membayar USD 72, 000 sebagai pampasan kepada lima plaintif untuk ‘penyembuhan palsu’.

Di Chile, pindaan telah diusulkan untuk akta keganasan rumah tangga dan perlindungan kanak-kanak bagi melindungi golongan LGBT secara jelas, terutamanya orang muda, dari bahaya amalan pengubahan.

Pengawalan pakar penjagaan kesihatan

Argentina, Uruguay, Fiji, Nauru, Samoa, dan Taiwan telah menggubal larangan secara tidak langsung melalui undang-undang kesihatan mental yang melarang diagnosis pesakit secara eksklusif bersandarkan orientasi seksual dan/atau identiti gender.

Sekatan iklan yang mempromosikan amalan pengubahan

Pada Julai 2020, Facebook dan Instagram mengumumkan sebuah sekatan terhadap promosi amalan pengubahan di platform mereka.

Kenyataan dari persatuan perubatan menekankan etika dan kemudaratan amalan pengubahan

Persatuan perubatan kebangsaan dan sedunia secara konsisten mengecam amalan pengubahan disebabkan kekurangan bukti dan menyumbang kepada bahaya jangka panjang terhadap psikologi, antara kemudaratan lain.

Independent Forensic Expert Group (IFEG) menegaskan bahawa terapi pengubahan adalah satu bentuk diskriminasi dan penindasan. Kajian mereka mendapati banyak amalan pengubahan berpadanan dengan perbuatan seksaan serta perlakuan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah seperti yang diakui di peringkat antarabangsa. IFEG membuat pertimbangan bahawa terapi pengubahan meletakkan individu kepada kesakitan serta penderitaan mental dan fizikal yang ketara atau parah dengan kesan kemudaratan jangka panjang — kerana amalan-amalan ini ‘sememangnya memalukan, menjatuhkan maruah dan mendiskriminasikan’.

Pada tahun 2013, Lebanese Psychiatric Society mengeluarkan satu kenyataan yang menegaskan bahawa ‘mengubah orientasi seksual bukan satu matlamat yang wajar untuk rawatan psikiatri’. Sementara itu, kod etika Turki memasukkan ‘Ahli psikologi [tidak boleh] menggunakan pengetahuan mereka sebagai alat untuk tekanan psikologikal’, sambil menambah bahawa mereka sepatutnya mengelakkan tindakan sedemikian seperti memaksa klien untuk mengisytiharkan, menafikan atau menukar orientasi seksual mereka, dalam masa yang sama juga cuba untuk menghalang orang lain dari menggunakan pengetahuan profesional mereka untuk tujuan seperti itu.

Psychological Association of the Philippines (PAP) menyatakan pada tahun 2011 bahawa ‘ahli psikologi Filipina tidak sepatutnya mendiskriminasikan atau merendahkan maruah seseorang berdasarkan orientasi seksual atau identiti gender […] sebenar atau tanggapan.’ PAP juga membuat keputusan untuk menyokong usaha menghapuskan semua jenis prejudis dan diskriminasi terhadap golongan LGBT dalam pengajian, penyelidikan, campur tangan psikologikal, penilaian, dan program psikologikal yang lain.

Anda boleh membaca susunan kenyataan oleh persatuan-persatuan perubatan di Queer Lapis.

 

Bahan Rujukan Tambahan

Ketahui dengan lebih lanjut tentang usaha yang sedang dilakukan di seluruh dunia untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan golongan LGBTIQ.

Seterusnya > Situasi Di Malaysia