Panduan Media

PANDUAN MEDIA: Liputan Amalan Pengubahan LGBT di Malaysia

Tentang Panduan Ini

Panduan Media ini oleh Justice for Sisters (JFS) bertujuan untuk membantu pengamal media membuat laporan tentang amalan pengubahan LGBT secara tepat dan sensitif. Panduan ini menggalakkan penggunaan bahasa advokasi dan menawarkan pendekatan untuk mengelakkan naratif yang memudaratkan.

Isi kandungan panduan ini adalah berdasarkan laporan JFS ‘Hidden Behind the Right Path: Untangling Malaysia’s “Soft Approach” to LGBTQ Rehabilitation’, dan sumber lain. 

Kami harap Panduan Media ini dapat memberikan maklumat dan membantu anda. Jika anda mempunyai sebarang maklum balas atau soalan, sila hubungi kami di info@justiceforsisters.org.

MEWUJUDKAN LANDSKAP MEDIA YANG ADIL DAN TEPAT

Media, sebagai penyebar maklumat utama, adalah pemangkin penting untuk kemajuan. Sebagai pengamal media, peranan anda boleh membawa perubahan dalam menangani kekurangan kesedaran awam tentang cabaran yang dihadapi oleh golongan LGBTIQ dan pelbagai gender di Malaysia.

Golongan LGBTIQ dan pelbagai gender semakin terdedah kepada penjenayahan, amalan pengubahan LGBT yang dibiayai kerajaan, penapisan, dan bentuk kawalan yang lain berdasarkan orientasi seksual, identiti gender, ekspresi gender dan ciri-ciri seks (SOGIESC) oleh kerajaan. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang situasi dalam Malaysia di sini.

Sejak tahun 2010, kerajaan Malaysia, menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, dan jabatan agama Islam negeri, telah meningkatkan usaha ‘pemulihan LGBT’ melalui amalan pengubahan.

Media bahasa Melayu arus perdana sering mendukung naratif kerajaan dengan mempromosikan kisah bekas golongan LGBT atau yang sudah ‘berhijrah’ dan menggesa golongan LGBT supaya ‘balik ke pangkal jalan’, tanpa melaporkan pandangan pihak lain. Panduan Media ini membantu perbaiki pendekatan ini melalui cadangan dan good practices yang merangkumi cara dan sumber yang boleh digunakan untuk mengimbangi liputan anda. 

Amalan pengubahan LGBT dijalankan oleh pelaku negara dan bukan negara. Usaha ini merangkumi kem motivasi agama, sokongan bagi kumpulan golongan LGBT yang telah ‘berhijrah’, dan kerjasama dengan pusat pengajian tempatan. Matlamat amalan pengubahan ini adalah untuk mengubah orientasi seksual seseorang gay, lesbian, biseksual atau queer kepada heteroseksual, dan untuk mengubah golongan trans dan pelbagai gender kepada cisgender.

Adalah penting untuk ditekankan bahawa pakar perubatan dan psikologi secara meluas menolak amalan ini kerana ianya tidak beretika dan memudaratkan. Sementara itu, kerajaan mendakwa bahawa kira-kira 1,769 golongan LGBT telah menghadiri program mukhayyam antara tahun 2012 hingga 2021. Pada tahun 2023, seramai 220 orang dilaporkan telah menghadiri kem tersebut antara bulan Januari dan Oktober. 

Kesan pelaporan berunsur sensasi terhadap golongan LGBTIQ dan pelbagai gender

Media mempunyai pengaruh secara langsung terhadap realiti kehidupan seharian golongan LGBTIQ dan pelbagai gender. Menurut tinjauan JFS et al pada tahun 2023, 29.5% responden LGBTIQ dan pelbagai gender (46 daripada 156) berasa tertekan untuk mengubah orentasi seksual dan ekspresi identiti gender mereka disebabkan naratif media tentang golongan ‘bekas LGBT’ serta bagaimana golongan LGBT boleh mengubah SOGIE mereka. Seorang responden menyatakan bahawa dia berasa tertekan untuk berpura-pura sebagai seorang heteroseksual kerana naratif media tersebut mencadangkan keberkesanan dalam ‘mengubah’ golongan LGBTQ.

“Naratif tersebut tidak mendesak saya untuk mengubah identiti saya sepenuhnya, namun ia menekan saya untuk terus berpura-pura menjadi heteroseksual, kerana naratif tersebut telah meyakinkan orang ramai bahawa ia berkesan untuk ‘mengubah’ LGBTQ.”

Daripada 156 responden, 32.7% (51) melaporkan penggunaan naratif media oleh orang lain untuk menekan atau menggalakkan mereka untuk mengubah SOGIE mereka. Di antara 51 responden tersebut, 68.6% berusia antara 19 hingga 30 tahun, 5.9% adalah antara 12 hingga 18 tahun, dan 43.1% datang dari latar belakang Islam.

Sementara itu, dalam tinjauan JFS et al pada tahun 2023, 55% (121 daripada 220) responden LGBTIQ dan pelbagai gender telah mengalami tekanan kesihatan mental yang lebih tinggi disebabkan oleh laporan media berunsur sensasi. Di samping itu, 39.1% (86 responden) melaporkan diskriminasi secara langsung yang dikaitkan dengan media berunsur sensasi, dengan 20% mengalami lebih daripada satu bentuk diskriminasi atau keganasan. 

Menggunakan bahasa yang betul untuk mencetuskan perubahan

Untuk menghormati serta memperkasakan golongan LGBTIQ dan pelbagai gender, sebaiknya tanyakan cara mereka mengenal pasti identiti dan kata ganti nama mereka, dan nama yang mereka gunakan. (Di sini, bahasa Malaysia mempunyai kelebihan. Kata ganti nama ‘dia’ boleh digunakan untuk semua orang, tanpa mengambil kira identiti gender seseorang itu.) 

Sesetengah golongan LGBTIQ dan pelbagai gender mungkin menggunakan istilah atau perkataan yang secara umum dianggap sebagai penghinaan, contohnya ‘pondan’, apabila bercakap tentang diri mereka atau sesama mereka. Istilah-istilah ini mempunyai dinamik kuasa dan pengaruh, dan sebagai pihak luar, media seharusnya tidak menggunakan istilah yang sama. Adalah penting untuk membezakan antara penggunaannya oleh golongan LGBTIQ dengan golongan bukan LGBTIQ. 

Pendekatan terbaik adalah dengan menggunakan istilah advokasi yang dapat mengimbangi dinamik kuasa tersebut serta menyumbang kepada landskap media yang adil dan melindungi hak semua, termasuk golongan LGBTIQ dan pelbagai gender. 

Anda boleh merujuk pada Senarai Semak kami untuk mendapatkan petua tentang penggunaan bahasa yang betul semasa melaporkan amalan pengubahan LGBT.

Apakah peranan media dalam membuat liputan tentang amalan pengubahan LGBT?

  • Mematuhi amalan kewartawanan yang beretika (lihat Piagam Global untuk Wartawan)
  • Menyediakan liputan yang tepat tentang amalan pengubahan LGBT dengan merangkumi pelbagai perspektif daripada
  • Golongan LGBTIQ dan pelbagai gender  
  • Pakar kesihatan mental
  • Penyokong hak asasi manusia
  • Organisasi yang memperjuangkan hak asasi LGBTIQ

Dalam menyertakan perspektif golongan LGBTIQ, perlu diingati bahawa ada yang mungkin masih belum memproses pengalaman trauma mereka, atau mungkin tidak sedar akan penggunaan bahasa atau istilah yang betul. Anda bertanggungjawab untuk mengekalkan suara dan pengalaman mereka tanpa mengukuhkan stereotaip. Untuk memberi konteks yang tepat kepada pengalaman tersebut, anda boleh menyertakan analisis daripada kumpulan hak asasi manusia.

  • Mendidik orang awam tentang amalan pengubahan LGBT yang terbukti salah dan memudaratkan
  • Menentang mitos dan salah tanggapan 
  • Menekankan konsensus di kalangan persatuan perubatan dan psikologi yang berpendapat bahawa amalan pengubahan LGBT adalah tidak berkesan
  • Mendedahkan potensi risiko dan kesan negatif yang berkaitan dengan amalan ini

 

Piagam Etika Global untuk Wartawan

Piagam Etika Global untuk Wartawan oleh Persekutuan Wartawan Antarabangsa (“IFJ”) telah diterima pakai pada Kongres Dunia IFJ ke-30 di Tunisia pada 12 Jun 2019. Piagam ini melengkapkan Deklarasi Prinsip Kelakuan Wartawan IFJ (1954), dikenali sebagai Deklarasi Bordeaux.

Berpandukan Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, Piagam tersebut menggariskan 16 perkara.

Perkara 9 dalam Piagam Etika Global untuk Wartawan amat relevan bagi laporan dan kandungan tentang amalan pengubahan LGBT:

Para wartawan hendaklah memastikan bahawa penyebaran maklumat atau pendapat tidak menyumbang kepada kebencian atau prejudis dan hendaklah melakukan yang terbaik untuk mengelak daripada memudahkan penyebaran diskriminasi atas alasan seperti geografi, asal usul sosial atau etnik, bangsa, gender, orientasi seksual, bahasa, agama, ketidakupayaan, pendapat politik dan lain-lain.

Piagam penuh boleh didapati di sini https://www.ifj.org/who/rules-and-policy/global-charter-of-ethics-for-journalists

SENARAI SEMAK UNTUK LAPORAN DAN KANDUNGAN TENTANG AMALAN PENGUBAHAN LGBT

Senarai Semak ini bertujuan memudahkan anda untuk memastikan bahawa kandungan anda adalah tepat dan menggunakan bahasa yang betul.

  • Tajuk Berita atau Tajuk Utama

    ELAKKAN tajuk berita dan tajuk utama yang berunsur sensasi, membawa maklumat yang salah, atau menggunakan bahasa yang menghina untuk menarik perhatian

    Contoh tajuk berunsur sensasi
    Bekas mak nyah antarabangsa insaf!

    Cadangan tajuk
    30 mak nyah dipaksa ‘berubah’ untuk hadiri kelas mengaji

    Diskriminasi dan pengasingan golongan transgender, termasuklah penafian akses kepada tempat ibadah dan ruang keagamaan lain menyebabkan golongan transgender ‘mengubah’ identiti mereka. Mereka terpaksa memilih antara agama dan identiti gender hanya semata-mata untuk mengamalkan agama serta kepercayaan mereka. Terdapat lebih banyak tempat ibadah dan ruang keagamaan yang terbuka kepada golongan daripada pelbagai gender tanpa syarat. 

    Diskriminasi struktural dan sistemik yang dihadapi golongan transgender menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan tertentu. Dalam keadaaan ini, pekerjaan seks adalah satu-satunya cara bagi golongan transgender untuk terus berdaya. walau bagaimanapun, keadaan ini sering digunakan untuk mengaibkan mereka.

  • Bahasa dan Istilah

    GUNAKAN istilah serta kata ganti nama yang tepat dan memberi kesahan untuk golongan LGBTIQ dan pelbagai gender. Anda boleh menjadikannya mudah dengan memperkenalkan nama dan kata ganti nama anda sendiri sebelum bertanya soalan yang sama kepada mereka. Satu lagi satu amalan yang baik adalah dengan menyertakan kata ganti nama anda dalam kad perniagaan dan e-mel. “They/them” juga adalah kata ganti nama yang sah.

    Contoh:

    [dalam perbualan] Nama saya Ahmad Albab, dan kata ganti nama saya ialah he/him. Siapa nama dan apa kata ganti nama awak?

    [untuk e-mel dan kad perniagaan]  Ahmad Albab (he/him)

    ELAKKAN bahasa yang menimbulkan stigma atau istilah yang mengekalkan stereotaip. Contohnya: “mereka yang terlibat dalam gaya hidup LGBT menimbulkan ancaman kesihatan kepada ahli keluarga mereka.” 

    GUNAKAN istilah yang betul seperti ‘amalan pengubahan LGBT’ dan bukannya ‘terapi pengubahan’. Istilah ‘terapi pengubahan’ adalah mengelirukan kerana ia memberikan keesahan perubatan kepada amalan yang memudaratkan ini.

    ELAKKAN bahasa yang mengekalkan persepsi negatif terhadap golongan LGBT. Sebagai contoh, terma dan istilah seperti:

    • songsang 
    • balik ke pangkal jalan
    • hijrah
    • terpesong akidah
    • pemulihan (penggunaan istilah ‘pemulihan’ memberi gambaran yang salah bahawa golongan LGBT mempunyai ketagihan atau berpenyakit)
  • Menetapkan Posisi atau Pendirian

    ELAKKAN daripada menampilkan pendapat daripada semua sudut secara tidak kritis yang boleh mengekalkan diskriminasi. Sebagai contoh, pihak yang cenderung kepada haluan kanan serta golongan konservatif, dan pengamal amalan pengubahan.

    SERTAKAN pendapat pakar. Anda boleh menghubungi kumpulan LGBTIQ di Malaysia dan/atau NGO untuk membantu mengenal pasti pakar.

  • Gambar Hiasan

    ELAKKAN gambar hiasan yang merendahkan golongan LGBTQ atau mengukuhkan stereotaip. 

    Sebagai contoh:

    Imej wanita trans berpakaian lelaki dalam sebuah masjid (menggambarkan “keinsafan”)

    Imej wanita trans mengenakan solekan pada muka beliau


  • Membetulkan Maklumat yang Salah

    LAKUKAN semakan fakta dan sediakan bukti

    BETULKAN maklumat yang salah dalam artikel atau kandungan yang sama

    DAPATKAN input daripada pakar dan utamakan kenyataan mereka berbanding pendapat yang tidak berasas

  • Menyertakan Suara LGBTIQ dan Pelbagai Gender

    DAPATKAN persetujuan termaklum daripada orang yang anda dekati untuk ditemu bual.

    HORMATI nama yang dipilih dan kata ganti nama; elakkan penggunaan “nama lama” atau merujuk golongan transgender atau bukan binari (non-binary) dengan nama yang mereka gunakan sebelum transisi, seperti nama yang ditetapkan atau nama rasmi.

    LINDUNGI privasi mereka dengan tidak mendedahkan maklumat yang membawa kepada pengenalpastian dan risiko.

Amalan yang Baik

  • Hubungi organisasi LGBTIQ, kumpulan advokasi, dan pakar yang berkenaan untuk mendapatkan pandangan mereka]
  • Pertimbangkan untuk menampilkan pendapat pakar dengan lebih kerap dalam penerbitan atau platform anda]
  • Bandingkan perkembangan domestik dengan kemajuan global berkenaan isu tersebut. Sehingga bulan Ogos 2023, 26 negara telah memperkenalkan pengharaman secara langsung atau tidak terhadap amalan pengubahan. Anda boleh mendapatkan kemas kini dari laman web seperti ILGA World atau Statista untuk data dan rajah. Untuk mendapatkan statistik atau maklumat lain tentang amalan pengubahan di Malaysia, anda boleh merujuk pada laman mikro kami.
  • Sertakan petikan daripada sumber global yang bereputasi berkenaan SOGIE, seperti Independent Expert on SOGI, ILGA World, dan ASEAN SOGIE Caucus untuk melawan maklumat yang salah.

SUMBER DAN RUJUKAN